Seorang lelaki melihat paparan gelung Olimpik yang dipasang di Mardaiba Marine Park di Tokyo pada 28 Februari 2020. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

Lee Hup Wei cerah wakili lompat tinggi ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei menjadi pilihan untuk diberikan tiket ‘wildcard’ ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai 2021 sekiranya tiada atlet olahraga negara mampu melayakkan diri secara merit ke temasya berkenaan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu berkata pilihan tersebut dibuat berdasarkan kedudukan ranking dunia semasa atlet berusia 33 itu yang mengatasi atlet lain.

“Mengikut ranking, Hup Wei berada di kedudukan ke-17 dunia, diikuti oleh seorang lagi atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa di tempat ke-46; atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail (57) dan atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin (66).

“Buat masa ini memang Hup Wei berada di posisi depan, tetapi sekiranya ada atlet lain yang berjaya mengatasinya dalam tempoh kelayakan (hingga 29 Jun 2021), kita akan berikan slot kepada atlet tersebut,” katanya kepada Bernama.

Hup Wei menduduki ranking ke-17 dunia dengan 1,260 mata dan memiliki lompatan terbaik peribadi dengan catatan 2.29 meter yang dilakukan di Kejohanan Dunia 2019 untuk muncul atlet olahraga Malaysia yang pertama mara ke pusingan akhir sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1976.

Juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas tiga kali Sukan SEA itu mempunyai pengalaman beraksi pada Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Tiket ‘wildcard’ bagi Olimpik diberikan dalam beberapa sukan sekiranya tiada atlet dari sesuatu negara layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu bagi memenuhi kriteria penyertaan universal.

Untuk sukan olahraga, Malaysia selalunya diberikan dua tiket ‘wildcard’, iaitu satu bagi atlet lelaki dan wanita, namun bagi edisi kali ini hanya satu tiket diberikan tanpa mengira jantina.

Pada temasya 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Malaysia diwakili oleh Nauraj Singh dan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara 100 m wanita.

Sementara itu, Muthu yakin pelari pecut pelapis negara mampu merapatkan jurang dengan atlet elit seperti Zaidatul Husniah dalam masa terdekat.

“Perbezaan antara mereka tak jauh sangat, cuma atlet pelapis kurang pengalaman tetapi kita dapat melihat perkembangan mereka. Kita pun mendapat sokongan World Athletics untuk meningkatkan penyertaan atlet wanita dalam olahraga bagi mengurangkan ratio antara atlet lelaki dan wanita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :