Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
AGENDANASIONAL

Lima lagi kluster baharu dikesan, jumlah kluster aktif kini 81

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengenal pasti lima lagi kluster baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di negara ini adalah sebanyak 81, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut ialah kluster Teduh di Lahad Datu, Sabah dan kluster Menara yang dikenal pasti di daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor; Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur; daerah Larut, Matang dan Selama di Perak serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Tiga lagi kluster ialah kluster Keladi di daerah Klang, Selangor; kluster Sentral di Kepong, Cheras dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kluster Bah Bemban di daerah Dungun, Terengganu,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Memperincikan kluster berkenaan, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster Teduh (iaitu kes ke-13000) telah dikenal pasti hasil saringan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari daerah berisiko tinggi iaitu Semporna pada 6 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 10 lagi kes positif menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster itu 11 kes, katanya.

Bagi kluster Menara, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16041) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 32 lagi kes positif menjadikan jumlah kes sehingga hari ini ialah 33 kes.

“Bagi kluster Keladi, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17381) dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 13 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 25 lagi kes positif dan jumlah keseluruhan kes positif dikesan ialah 26,” katanya.

Mengenai kluster Sentral, kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-18676, yang juga merupakan kes kematian ke-176, telah dikenal pasti positif hasil saringan kematian di sebuah pusat perubatan pada 16 Oktober dan sehingga kini terdapat lima kes positif.

Bagi kluster Bah Bemban, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12082) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

Saringan kontak rapat telah dilakukan dan sehingga kini terdapat 12 kes positif dalam kluster berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan kes positif dalam 32 kluster aktif manakala 49 lagi kluster tidak mempunyai tambahan kes hari ini.

Antara kluster yang mencatat kes positif tertinggi ialah kluster Penjara Reman yang merekod 160 kes, kluster Utama (42), Kluster Tembok (38), kluster Tujuh Serangkai (30) dan kluster Penjara Sebarang Perai yang mencatatkan 26 kes.

Satu kluster iaitu kluster Ara tamat, menjadikan jumlah kluster yang telah ditamatkan selepas 28 hari pemantauan dan tidak mencatatkan kes adalah 105 kluster.

– BERNAMA


Pengarang :