Nur Hidayah Mohd Isa menerima bantuan lampin pakai buang, makanan tambahan bayi dan wang tunai daripada LZS pada 24 Okt 2020. Foto LZS
AGENSISELANGOR

LZS bantu keluarga hilang punca pendapatan

SHAH ALAM, 25 OKT: Nasib sebuah keluarga di Kuala Selangor yang hilang punca pendapatan akibat ketua keluarga ditahan pihak berkuasa mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata pihaknya menyalurkan bantuan lampin pakai buang, makanan tambahan bayi dan wang tunai kepada Nur Hidayah Mohd Isa selepas menerima aduan berhubung perkara tersebut.

“Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, kami tetap usahakan membuat siasatan dan menyampaikan bantuan dengan mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan.

“Beliau (Nur Hidayah) tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga anak kecil berusia sembilan bulan serta dua lagi anak berusia lima dan setahun,” menurut LZS di Facebook.

Ia juga bersetuju meluluskan bantuan kewangan bagi keperluan keluarga terbabit bermula November ini.

“LZS berterima kasih kepada pembayar zakat kerana 2.5 peratus daripada wang zakat yang ditunaikan dapat membantu mereka memerlukan,” katanya.

Pembayaran zakat boleh dibuat di cawangan LZS berhampiran atau secara dalam talian dengan melayari pautan https://fpx.zakatselangor.com.my


Pengarang :