Foto yang diambil pada 7 Oktober 2020 menunjukkan jarum suntik pada ilustrasi Covid-19 di Toulouse, barat daya Perancis. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia sudah laksana jujukan genom kesan punca jangkitan Covid-19

PUTRAJAYA, 23 OKT: Penjujukan genom virus Covid-19 membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam perancangan untuk meningkatkan kesiapsiagaan menangani pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia telah pun menjalankan jujukan genome tetapi bukan pada semua kes dikesan positif namun bergantung kepada kluster.

“Daripada awal lagi kita telah laksanakan, contohnya perhimpunan Sri Petaling didapati ada 692 jemaah dari Indonesia. Ketika itu andaian kita jangkitan itu mungkin datang dari Indonesia tetapi apabila kita melaksanakan penjujukan kita dapati sekarang jangkitan itu daripada strain Indonesia.

“Jadi kita tahu pada permulaan gelombang kedua iaitu jangkitan adalah datang dari Indonesia,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri New Zealand Helen Clarke semalam yang menyatakan penjujukan genom pesakit yang dijangkiti Covid-19 memberikan kelebihan kepada New Zealand menangani penularan wabak itu.

Dr Noor Hisham berkata penjujukan genom tidak membantu untuk membendung penularan Covid-19 tetapi dapat mengenal pasti lokasi selain kesiapsiagaan dari segi tindakan dan perancangan untuk mengawal jika mutasi dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

Beliau berkata kaedah itu memakan masa lama iaitu sehingga tiga minggu untuk mengenal pasti sesuatu mutasi.

Katanya, kaedah itu juga melihat pada kluster dan strain tertentu dalam membantu KKM mendapat lebih maklumat mengenai sifat-sifat virus.

Dr Noor Hisham berkata pada peringkat awal terdapat tiga strain dikenal pasti iaitu A dari Amerika Syarikat, B dari Wuhan, China dan C dari Indonesia.

Beliau berkata jujukan genom juga dilaksanakan untuk kluster Sivagangga yang kemudiannya mendapati ia berkait kes balik dari India dan wujud mutasi D614G yang dikaitkan dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

Dr Noor Hisham berkata penjujukan genom juga antaranya dilaksanakan pada Kluster Tawar, Kluster Sungai dan Kluster Benteng di Lahad Datu.

-BERNAMA


Pengarang :