AGENDANASIONAL

Malaysia ulangi komitmen terus bekerjasama dengan PBB

PUTRAJAYA, 24 OKT: Malaysia memperbaharui komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua negara anggota, berasaskan prinsip saling menghormati dan berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.

Dalam satu kenyataan bersempena ulang tahun PBB ke-75 tahun hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) menyatakan sebagai ahli institutsi antarabangsa itu sejak 1957, Malaysia kekal komited kepada tiga tunggak PBB, iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.

“Malaysia juga nekad untuk terus berganding bahu dengan negara-negara anggota PBB yang lain dalam mendukung multilateralisme dan menggalakkan kerjasama sejagat di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Hari PBB merupakan sambutan tahunan bagi menandakan tarikh berkuat kuasanya Piagam PBB, yang membawa kepada penubuhan badan ini pada 1945.

Semasa Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB bagi Meraikan Ulang Tahun ke-75 PBB pada bulan lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan komitmen Malaysia kepada PBB sebagai satu-satunya institusi antarabangsa yang dimiliki semua.

Wisma Putra menyatakan Mesyuarat Tertinggi tersebut menyaksikan penerimaan Deklarasi sempena Hari Peringatan Ulang Tahun ke-75 PBB oleh semua pemimpin negara anggota PBB, termasuk Malaysia.

“Deklarasi tersebut mengiktiraf keperluan multilateralisme dalam menangani cabaran global dan menyatakan kepentingan pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 (Agenda 2030).

“Malaysia memberikan keutamaan kepada Agenda 2030 yang diterapkan di dalam rancangan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan ini, Wisma Putra menyatakan buat kali keduanya, Malaysia akan menyertai Voluntary National Review (VNR) pada Forum Politik Tertinggi bagi Pembangunan Lestari 2021.

Dalam menyokong pengukuhan keamanan dan keselamatan antarabangsa, kenyataan itu menyatakan Malaysia telah menyerahkan instrumen ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear pada 30 Sept 2020, sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap penghapusan senjata nuklear.

“Selain itu, Malaysia telah menyertai 36 misi pengaman PBB sejak tahun 1960 yang melibatkan lebih dari 35,000 tentera pengaman sehingga kini,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah Wisma Putra lagi, Malaysia juga berbangga menjadi tuan rumah kepada hab Asia Pasifik bagi Depot Respons Kemanusiaan PBB bagi Program Makanan Sedunia PBB, yang telah memudah cara usaha masyarakat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan bencana kepada negara-negara yang memerlukan, pada ketika dunia terus menghadapi cabaran baru akibat pandemik Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :