Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
AGENDAGLOBAL

Malaysia ulangi pendirian kutuk tindakan provokatif cemar Islam

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut kenyataan kementerian itu, pendirian tersebut dizahirkan dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur yang dipanggil ke Wisma Putra hari ini.

“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain,” demikian menurut kenyataan itu malam tadi.

Pada pertemuan itu juga Malaysia menyatakan kegusaran terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

“Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama,” kata kementerian itu.

Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat, dan dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama.

Menurut laporan media, pada 16 Oktober lalu seorang guru di pinggir kota Paris dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya.

-BERNAMA


Pengarang :