SELANGOR

Manfaatkan tanah terbiar, tingkat kemudahan pelancongan

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri boleh membangunkan tanah terbiar di kawasan luar bandar untuk aktiviti pertanian, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Sungai Burong.

Muhammad Akmal Sazali berkata perancangan rapi perlu dibuat supaya ia memberi dampak positif kepada semua pihak.

“Cadangan saya tanah terbiar ini sesuai untuk pembangunan pertanian selain membina pusat pengumpulan hasil supaya rantaian bekalan makanan dapat diwujudkan.

“Selain dapat mengurangkan kos harga barang, perkara itu turut meningkatkan hasil ekonomi negeri,” katanya ketika sesi perbahasan usul Kluster Ekonomi pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjelaskan berdasarkan data Jabatan Pertanian Malaysia, Selangor merupakan negeri kedua yang mempunyai kawasan tanah terbiar membabitkan 4,485 lot.

Selain itu, Muhammad Akmal juga mencadangkan supaya kemudahan pelancongan di kawasan luar bandar ditingkatkan supaya penduduk dapat menyemarakkan ekonomi setempat.


Pengarang :