Masjid Jamek Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Foto: Facebook Masjid Jamek Sultan Hisamuddin
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Masjid di Salak Tinggi ditutup selepas menteri disah positif

SHAH ALAM, 6 OKT: Masjid Jamek Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang ditutup sejak semalam selepas Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Pengurusan masjid memaklumkan langkah itu diambil kerana menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berada di situ pada 3 Oktober lalu.

“Dukacita dimaklumkan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin ditutup serta merta mulai sekarang (semalam). Ini kerana Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad telah hadir ke masjid kita pada Sabtu lepas untuk memberi kuliah,” katanya menerusi Facebook.

Pihak pengurusan masjid juga meminta jemaah yang hadir semasa kuliah dan sebelumnya menjalani saringan Covid-19 serta mendoakan semua terlibat sembuh dari wabak berkenaan.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada wakil kolej kediaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto: Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dr Zulkifli mengesahkan dirinya positif Covid-19 melalui saringan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau dilaporkan berada di Sabah menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

Selepas itu beliau pergi ke beberapa negeri dalam pelbagai program termasuk Selangor menghadiri beberapa acara.

Merujuk Facebook beliau, Dr Zulkfili pada 4 Oktober lalu hadir pada Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Darussyifa’ sesi 2020 dan Perasmian buku di Darul Quran, Kuala Kubu Baru.

Beliau juga hadir pada program Bantuan Musaadah Khas Siswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Bantuan Musaadah Khas Siswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Dr Zulkifli juga hadir pada perasmian penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Qur’an Peringkat Kebangsaan di Hotel Geno Shah Alam.


Pengarang :