Petugas keselamatan menyukat suhu jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang pada 19 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Masjid diarah pantau jemaah, ketatkan pemeriksaan suhu

SHAH ALAM, 7 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan masjid dan surau di negeri ini mengetatkan pemeriksaan suhu serta memantau tahap kesihatan jemaah.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad turut mengingatkan pentadbir rumah ibadat itu untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Sebelum ini Jais terima aduan ada masjid dan surau yang mula bersikap sambil lewa dan tidak ikut SOP, malah ada jemaah yang tidak pakai pelitup muka dengan betul, mereka letak bawah dagu.

“Perkara sebegini yang kita bimbang kerana sedikit kecuaian boleh menyebabkan masjid dan surau ditutup, jadi jika tidak mahu ditutup semua pihak perlu kekalkan disiplin bagi memerangi Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Shahzihan turut mengekalkan syarat jemaah perlu membawa sejadah sendiri ketika hadir ke masjid atau surau selain melarang jemaah warga asing tidak dikenali.

 


Pengarang :