Anggota bomba membawa naik mayat nelayan yang ditemui di perairan Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 11 Oktober 2020. Foto ihsan Borhan Aman Shah
AGENDANASIONAL

Mayat nelayan ditemui selepas empat hari, ADN ucap takziah

SHAH ALAM, 11 OKT: Mayat seorang nelayan yang hilang sejak empat hari lalu selepas bot dinaiki karam ditemui di perairan Pantai Kelanang, Kuala Langat hari ini.

Wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah memaklumkan mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi dan dibawa ke Hospital Banting bagi proses bedah siasat.

Borhan Aman Shah (tengah) bersama penduduk setempat dan pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dipercayai lemas di Pantai Batu Laut pada 11 Oktober 2020. Foto ihsan Borhan Aman Shah

“Awalnya pagi tadi saya bersama pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hendak meneruskan operasi mencari dan menyelamat, namun dimaklumkan mayat mangsa sudah ditemui.

“Sejurus selepas itu, saya membawa anak mangsa ke lokasi untuk pengecaman. Saya berharap proses bedah siasat berjalan lancar dan pengebumian akan dilakukan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat, persatuan nelayan serta penduduk setempat yang turut membantu.

Semalam, SelangorKini melaporkan Borhan menyertai misi mencari nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam pada 8 Oktober.

Kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas merawai ikan bersama anaknya di Pantai Batu Laut, namun anak mangsa terselamat.


Pengarang :