AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kesihatan mental antara fokus bantu rakyat hadapi Covid-19

SHAH ALAM, 10 OKT: Isu kesihatan mental antara fokus umum Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 saat ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumum pada 1 April memperuntuk RM1 juta untuk perkhidmatan kaunseling bagi menangani isu itu melalui kelas interaktif.

“Selangor telah mengadakan program pengurusan kesihatan mental secara maya untuk menekankan kepentingan pendidikan serta kesedaran mengenai kesihatan mental,” tulis Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Hantaran itu sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Diraikan sejak 1992, sambutan itu tahun ini memilih tema “Pelaburan lebih baik, akses lebih baik-Kesihatan mental untuk semua, di mana sahaja”.

Pada 7 September lalu, EXCO kesihatan awam menegaskan negara perlu mempunyai indeks lebih tepat bagi menilai kesihatan mental dan psikologi rakyat.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesihatan mental seperti kemurungan, kerisauan dan keresahan dijangka menjadi penyakit nombor dua dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan remaja.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2001, kira-kira 450 juta penduduk dunia mempunyai penyakit mental yang juga salah satu punca utama ketidakupayaan.

Badan itu berkata kira-kira satu daripada empat individu berisiko untuk mendapat masalah kesihatan mental sepanjang hidup mereka.

 

 


Pengarang :