Papan tanda peringatan untuk mengekang penularan Covid-19 diletakkan di sebuah pusat membeli-belah sebagai langkah pencegahan ketika tinjauan pada 29 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Langkah proaktif kekang kenaikan Covid-19, tindakan segera diambil

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Selangor bakal mengumumkan beberapa langkah proaktif susulan berlakunya peningkatan kes baharu Covid-19 di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu diambil bagi membolehkan isu berkenaan ditangani pada kadar segera.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan semasa berhubung jumlah kes Covid-19 di Selangor.

“Berikutan peningkatan kes yang ketara, saya telah memanggil Mesyuarat Selangor Task Force Covid -19 dan Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri bagi membincangkan tindakan selanjutnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, petang semalam.

Sejak empat hari lalu, data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menunjukkan kes baharu Covid-19 meningkat kepada dua angka.

Bermula 27 September, kes baharu mencecah 11 kes, keesokannya jumlah kes juga sama iaitu 11 kes dan kemudiannya terus meningkat kepada 15 kes, pada 29 September.

Sementara itu, semalam Selangor merekodkan 10 kes baharu positif menjadikan jumlah terkumpul ialah 2,271.


Pengarang :