Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diperkenan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan pada 27 Oktober 2020 bagi menyembah maklum perkembangan semasa di negeri ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB mengadap Sultan, persembah perkembangan semasa negeri

SHAH ALAM, 27 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima mengadap Dato’ Menteri Besar untuk menyembah maklum berhubung perkembangan semasa di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diberi penerangan berhubung ekonomi, usaha menangani Covid-19 serta Belanjawan Selangor 2021 yang bakal dibentang pada Jumaat.

“Menjunjung kasih DYMM tuanku atas keprihatinan terhadap keadaan semasa melibatkan ekonomi dan wabak Covid-19 yang dihadapi sekalian rakyat Selangor ketika ini.

“Kasih sayang tuanku menjadi inspirasi buat pentadbiran ini untuk sentiasa berikhtiar demi rakyat dan negeri,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar berkata sektor ekonomi, pertanian, pelancongan, kesihatan awam, usahawan mikro, digitalisasi serta banyak lagi terus diperkasakan dalam Belanjawan Selangor 2021.

Pembentangannya dipancarkan secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, http://selangortv.my.

Siaran langsung juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.


Pengarang :