Petugas Selcare menyimpan sampel yang diambil dari orang ramai yang membuat saringan Covid-19 secara percuma di Klinik Selcare Puchong ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB: Saringan bersasar kawasan zon merah diteruskan

SHAH ALAM, 8 OKT: Saringan bersasar Covid-19 di kawasan zon merah diteruskan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sebagai langkah mengawal penularan wabak berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan terus mengadakan saringan bersasar ke kawasan merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal perebakan wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan semua agensi berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Klang.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKPB Klang,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan beberapa cadangan pengubahsuaian pelaksanaan PKPB di Klang dalam sidang khas MKN bersama perdana menteri secara maya jam 11 pagi tadi.

Cadangan itu dibuat berdasarkan maklum balas pelbagai agensi dan jabatan melalui mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Selangor menawarkan khidmat saringan percuma kepada individu baru pulang dari Sabah mulai 4 Oktober lalu.

Setakat semalam, 337 pemastautin Selangor yang ada sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani pemeriksaan percuma di Klinik Selcare. Satu kes positif dikesan.


Pengarang :