Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang dianjurkan secara maya pada 14 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

MB: Selangor kukuh reputasi gerbang pelaburan Asean

SHAH ALAM, 14 OKT: Selangor kekal destinasi pilihan pelabur di sebalik ketidakstabilan ekonomi dunia ketika ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sekali gus mengukuhkan reputasi negeri sebagai pintu gerbang pelaburan Asia Tenggara (Asean).

“Berdasarkan laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) djangka merosot sehingga 40 peratus tahun ini.

“Bagaimanapun, saya berbangga kerana Selangor dalam proses memuktamad beberapa projek dengan pemain industri utama dunia, malah sedang mengatur banyak perbincangan dengan pelabur,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya hari ini.

Amirudin berkata pencapaian itu membuktikan ekonomi Selangor terus berdaya saing, disokong dengan tenaga kerja mahir dan kemudahan terbaik.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri berjaya mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini dan dengan sokongan semua pihak, kita mampu berdepan krisis Covid-19,” katanya lagi.

Tahun lalu, Selangor mencatat nilai pelaburan RM17 bilion dalam sektor pembuatan dengan FDI berjumlah RM10.41 bilion.


Pengarang :