AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MB: Syukuri nikmat, sabar hadapi ujian Covid-19

SHAH ALAM, 29 OKT: Umat Islam seharusnya menghayati hakikat keimanan dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperoleh serta sabar dalam menghadapi kesukaran khususnya ketika berdepan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata kesabaran umat dalam menghadapi ujian tersebut akan menjadi kebaikan dan kemuliaan serta akan diangkat darjatnya di sisi Allah S.W.T.

“Nabi Muhammad S.A.W. adalah rasul akhir zaman yang meninggalkan kita dengan segala pedoman dan panduan kehidupan dalam segala situasi. Sesungguhnya santun akhlaknya daripada warisan al-Quran dan hadith menjadi cahaya kehidupan kita hingga ke akhir zaman.

“Hari ini, seluruh umat Islam wajar memunajat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. lantaran rahmat terbesar kepada umat dengan anugerah kelahiran seorang Rasul yang membuka gapura kebenaran lalu menutup pintu kesesatan dalam perjalanan hidup di di atas muka bumi ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang memetik sepotong hadis riwayat Muslim dalam perutusan Maulidur Rasul 2020 hari ini.

Beliau berkata nilai murni dan kemuliaan akhlak Baginda bukan sahaja menjadi teladan para sahabat malah meluluhkan hati musuh.

Menurut Amirudin pesanan Rasulullah yang positif dan optimis sangat wajar diimani dan dihayati lebih-lebih lagi di saat penularan pandemik yang menggoncang dunia ketika ini.

Malah semangat ini terserlah ke dalam peribadi para sahabat dan yang termasyhur melalui ungkapan Saidina Umar R.A untuk “tetap menyemai benih kurma walaupun esok mungkin kiamat”.

“Mari kita menyemarakkan salawat dan salam kepada Junjungan Besar sebagai penghayatan keimanan kepada Rasul dan mengindahkan nilai diri dengan meneladani sunnah Baginda.

“Semoga kita semua umat Islam menginsafi amanat Nabi Muhammad S.A.W dan terus berusaha dengan sabar dan syukur dalam melalui hari-hari yang mendatang,” katanya.


Pengarang :