Penguat kuasa MBSA memeriksa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) premis makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 hingga 23 Oktober. Foto Unit Korporat dan Perhubungan Awam MBSA
PBTSELANGOR

MBSA pantau pematuhan SOP di kawasan PKPB

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan rondaan di sekitar Taman Sri Muda yang ketika ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata pemantauan bersama polis tertumpu di premis perniagaan dan tapak pasar malam di Jalan Cermat 25/36.

“Semalam kita menempatkan penguat kuasa di tapak pasar malam bagi mengelakkan aktiviti perniagaan berlangsung ketika PKPB.

“Pemantauan turut melibatkan beberapa kawasan lain di bawah pentadbiran MBSA seperti di Sungai Kandis dan operasi gerai makanan pada sebelah malam,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan orang awam dan peniaga untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, terutama membabitkan urusan pembelian makanan.

Selain Taman Sri Muda dan Kampung Sungai Kandis, Taman Seri Lembayung juga berada di kawasan pentadbiran MBSA yang dikenakan PKPB.

Perintah tersebut dilaksanakan di 36 kawasan perumahan di mukim Klang bermula semalam hingga 23 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di situ.


Pengarang :