Kerja penurapan jalan di Flat PKNS, Seksyen 16 Shah Alam pada 2 Okt 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

MBSA peruntuk RM306,000 naik taraf jalan Flat PKNS Seksyen 16

SHAH ALAM, 2 OKT: Sebanyak RM306,000 diperuntuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menaik taraf jalan di sekitar Flat PKNS Seksyen 16 di sini, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata projek yang dijangka siap bulan ini bakal memberi kemudahan kepada penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut.

“Permohonan (naik taraf jalan) sudah lama dikemukakan iaitu sejak 2018 dan kita meminta (MBSA) untuk melihat serta mengkaji peruntukan ini memandangkan keadaan jalan memang agak uzur malah tidak pernah ada penyelenggaraan sejak lima hingga enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat laksanakan penurapan semula seluruh jalan di kawasan flat berkenaan dan kerja naik taraf giat dilaksanakan oleh kontraktor lantikan MBSA.

“Diharapkan pelaksanaan ini memberi kegembiraan kepada masyarakat kerana walaupun bukan jalan utama tetapi ia menjadi laluan penduduk yang berulang-alik dari tempat kerja,” katanya ketika dihubungi.

Najwan berkata beliau turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik gelanggang takraw di flat terbabit bagi kegunaan riadah anak muda.

Menurutnya, komuniti setempat perlu memanfaatkan kemudahan itu dengan sebaiknya dan mengelak aktiviti laku musnah yang boleh menyebabkan kerosakan.

“Justeru, saya minta penduduk untuk menggalas tanggungjawab menjaga dan memantau (gelanggang takraw) kerana dikhuatiri terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menyalah guna kemudahan ini,” katanya.


Pengarang :