PBTSELANGOR

MDKS tangkap tiga kambing, ganggu kawasan awam

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menangkap tiga ekor kambing di Bestari Jaya pada 24 September lalu selepas haiwan ternakan itu didapati berkeliaran di kawasan awam.

Yang dipertuanya berkata operasi bersepadu digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Selangor bagi tujuan itu membabitkan 30 anggota kerana didapati menganggu orang ramai.

“Tangkapan tersebut mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu – Kerbau 1971 kerana membiarkan (kambing) berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan.

“Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan serta-merta kepada pemilik ternakan di Taman Ilmu, Bestari Jaya di bawah kesalahan sama,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971, MDKS berkuasa mengheret dan mendakwa mereka ke mahkamah jika masih berdegil membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di kawasan awam.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar,” katanya.


Pengarang :