BUDAYAPENDAPATRENCANA

Memaknai khazanah seni – MB

Bersyukur ke hadrat Allah SWT, dengan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam ini, yang dinamakan sebagai ‘Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan’, salah satu kegiatan tahunan saya khususnya antara 1995 hingga 2002.

Banyak kali masuk dan pernah sekali ke peringkat akhir di Pulau Pinang pada 1998 ketika saya di Universiti Putra Malaysia tetapi belum pernah mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) itu. Malam ini dapat kita bersama-sama, ada sebahagian rakan-rakan dan guru-guru saya, kekal istiqamah dengan Sayembara Deklamasi Hari Kemerdekaan, suatu pengisian penting sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Saya gembira dapat berhimpun bersama-sama keluarga besar sayembara ini. Sebagaimana ucapan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) iaitu Dato’ Zainal Abidin Borhan, ia meninggalkan bekas yang sangat besar selaku salah seorang peserta.

Bacaan dan bait-bait puisi yang terungkap selaku pendeklamasi memberi bekas ingatan serta membentuk jiwa dan jati diri. Selaku pemimpin yang dipilih, juga selaku rakyat di negara tercinta ini.

Ungkapan Berlapis

Bait-bait ini bukan hanya kata-kata indah, sebaliknya ia tersimpan seribu makna yang kadangkala kurang difahami si pendeklamasi. Kadang-kadang yang difahami berbeza daripada yang dihajati, yang diungkap atau yang diingini si penulis. Namun, ada ungkapan menyebut bahawa selepas sesebuah karya siap, maka penulis itu telah mati.

Hanya karya tersebut dibaca dan dianalisis sama ada satu lapis, dua lapis dan berlapis-lapis. Baik dalam bentuk puisi, apatah lagi puisi antara kata azimat yang tertinggi, yang sepatutnya diluahkan. Selepas tidak dapat menyertai deklamasi puisi, saya masih menganjurkan acara membaca puisi.

Tahun 2004 hingga 2007, ketika itu kami baru lepas habis pilihan raya, kita menggerakkan acara baca puisi – berhimpun dan berbincang karya sastera. Sebab ketika itu, antara pandangan yang kita beri adalah perubahan boleh dilakukan kalau kita mampu mengungkap karya seni.

Saya antara pihak yang kurang disenangi sebahagian ahli politik sebab kadangkala mengkritik. Sebahagian ahli sastera dan seni yang terlibat dengan politik menukar posisi daripada seorang pengkarya kepada ahli politik tetapi tidak tercermin di dalam karyanya.

Sama ada lagu mahupun karya sebaliknya lebih terikut-ikut dengan ucapan politik yang kadangkala menyakitkan hati lantaran garis politik yang tertutup. Sebab itu, dalam beberapa tulisan, pernah saya karang pada 2014 ataupun 2013, saya menyebut ahli seni, orang budaya, sasterawan yang ingin terjerumus dan bersama-sama politik – perlu atau tidak perlu?

Dulu Pak Sako, Sasterawan Negara (SN) Usman Awang terlibat dan ramai lagi. Tetapi dalam masa sama, lebih elok hasil suara mahupun jiwanya disuarakan melalui karya masing-masing. Dalam konteks masing-masing berbanding hanya menjadi pengisi ceramah politik, yang kadangkala ahli politik menjadi watak utama.

Saya selalu menyebut politik bukanlah panglima dalam negara, sebaliknya ada juzuk-juzuk lain yang harus diisi kerana pengisian ini sangat penting dalam pembinaan negara dan bangsa. Bukan hanya bertapak kepada retorik ahli politik yang kadangkala hanyalah laungan kosong tanpa ada konteks dan kandungan yang tepat dan kuat.

Kenangan Bersama Loloq

Ketika ada masa, saya bertemu dengan Allahyarham Rosli Khamis atau nama popularnya, Loloq. Beliau antara penulis lirik yang saya agak rapat dan sempat bertemu, bersembang, berborak – kadang-kadang sampai awal pagi. Beliau selalu sebutkan puisi sepatutnya supreme, yang tertinggi.

Dianggap lirik itu hanya lapisan kedua atau tiga kerana kadangkala lirik maknanya lebih secara langsung (direct to the point). Sebaliknya puisi sarat makna dan pengertian, yang sebenarnya menjiwai dan memperkayakan khazanah negara dan penduduknya.

Sebab itu, negara maju dan negara membangun tidak akan sunyi dari melahirkan novelis yang cemerlang atau melahirkan sasterawan yang bagus, melahirkan karya berkualiti. Sebab itu, pada 2015 sebaik saya menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan saya mohon untuk menjadi EXCO kebudayaan kerana bidang itu antara minat saya sejak kecil.

Selain aktiviti sukan dan sebagainya, saya mahu mengisi dan mengertikan perjuangan politik, kehidupan, kerajaan dengan kandungan yang bermakna dan mempunyai nilai.

Bangsa dan negara ini memerlukan nilai. Nilai tidak boleh hanya diisi dengan laungan dan retorik politik belaka. Apatah lagi, nilai tidak dapat diisi dengan movement-movement, manoeuvring-manoeuvring ataupun ketangkasan, kelicikan tindakan politik.

Tetapi makna kepada negara harus diisi oleh intelektual, pemikir, karya dan pengisian sama ada dalam bentuk tulisan esei atau karya seperti cerpen, novel, puisi, lirik lagu, lukisan dan sebagainya.

Bahagian pertama ucapan dalam program Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan di kediaman rasminya pada 18 September.

 


Pengarang :