Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya Paramasivan Kupusamy, 58, memasang notis ‘Sekolah Ditutup’ susulan peningkatan kes Covid-19 di Daerah Petaling ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Mengapa zon hijau juga kena PKPB?

Oleh: Jamaliah Jamaluddin (ADN Bandar Utama)

Semalam Selangor dikecohkan dengan berita Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN), saya amat kecewa dengan pengisytiharan yang sebegitu tidak profesional oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sejak mulanya pengumuman sehinggalah lewat malam, para penduduk tidak berhenti bertanyakan pada saya dan rakan Ahli Dewan Negeri yang lain tentang garis panduan PKPB di Selangor. Terdapat juga di antara mereka yang menyoalkan keperluan PKPB di seluruh kawasan Selangor.

Semua persoalan ini boleh dijawab sekiranya kami, Ahli Dewan Negeri yang diamanahkan untuk menjaga warga Selangor diberikan pencerahan. Namun begitu, bukan sahaja saya tidak mendapat akses kepada sebarang maklumat terperinci, Dato’ Menteri Besar kami, Dato’ Seri Amirudin Shari turut terkejut dengan pengumuman yang tidak melibatkan pengetahuan Kerajaan Negeri.

Kejadian seperti ini sudah bukan kali pertama di negeri Selangor. Masihkah anda ingat kejadian hampir sama berlaku ketika tempoh permulaan PKP pada bulan Mac lalu? Lima negeri bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (termasuk Selangor) tidak dijemput ke mesyuarat khas mengenai Covid-19 tanpa sebarang sebab (bukan setakat tiada sebab munasabah, tiada sebab langsung). Pada masa itu, Selangor merupakan antara negeri yang mengalami jumlah kes Covid-19 yang tertinggi berbanding dengan negeri lain.

Pengisytiharan PKPB di Klang

Sama juga keadaannya ketika PKPB Klang diisytiharkan beberapa hari yang lalu. Pengumuman juga dilakukan tanpa sebarang perundingan bersama Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu. Kami tidak dimaklumkan apa-apa butiran mengenai kawasan-kawasan yang terjejas.

Sering kali, rakan ADN saya yang menjaga kawasan Klang terkeliru, kerana pihak kementerian tidak memberi maklumat yang jelas dan seolah-olah tidak faham akan perbezaan antara Daerah Klang atau Majlis Perbandaran Klang (inilah masalahnya bila tidak mahu berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri!)

Kini, pengumuman PKPB di Selangor sekali lagi dijalankan tanpa sebarang konsensus kerajaan Negeri. Saya menyokong 100 peratus sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk mengurangkan kes bagi menjamin keselamatan & kesihatan rakyat Malaysia, terutamanya untuk petugas barisan hadapan yang bekerja bertungkus-lumus demi menjaga kita. Namun begitu, ini tidak bermaksud kita boleh menyokong buta-tuli mana-mana arahan tanpa sebarang logik dan akal.

Tangani Covid-19 Secara Profesional

Sebagai sebuah Kerajaan, kita bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah, malah masalah perlu diselesaikan dengan cara yang berkesan, efisien, pantas dan paling penting, berprofesional. Ciri-ciri ini langsung tidak dipamerkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (kiri) menyertai program “SEDAR Walk” KRT SS25A dan Jabatan Kesihatan Bahagia Vektor MBPJ bersama Ahli Majlis Kawasan pada 22 Ogos 2020. Foto: Facebook Jamaliah Jamaluddin

Pengumuman PKPB tanpa sebarang perancangan terperinci hanya akan menyusahkan semua pihak. Petugas barisan hadapan terpaksa bekerja lebih masa di kawasan yang tidak perlu pengawasan. Sebagai contoh, bukan ke kurang bijak melaksanakan PKPB di kawasan Sabak yang tidak mempunyai apa-apa kes Covid-19?

Setakat ini, kawasan yang membimbangkan hanyalah di antara Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling. Dengan pengumuman PKPB di kawasan-kawasan lain yang masih dikategorikan sebagai Zon Hijau, ianya juga bakal menimbulkan isu ekonomi.

Namun, isu mengenai kerugian kos ekonomi yang tinggi tidak dijawab. Kekeliruan yang tertimbul akibat pengumuman yang tidak selaraskan dengan baik, akhirnya tidak ditangani. Juga sifat pilih kasih jelas yang ditonjolkan oleh Kerajaan Persekutuan amat mendemotivasikan. Kegagalan kerajaan pusat berkomunikasi adalah ciri-ciri kerajaan yang lemah!

Sebagai rakyat dan sebagai perantara, saya mengecam sifat kerajaan pusat yang membuat langkah sebegini rupa kerana perbezaan garis politik. Cukup sudah cukup.


Pengarang :