Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penipuan Umrah kepada Agensi Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri agama positif Covid-19, sedang jalani rawatan

SHAH ALAM, 5 OKT: Menteri hal ehwal agama kini menjalani rawatan Covid-19 selepas disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata keadaannya bertambah baik dan berterima kasih kepada petugas kesihatan yang prihatin terhadap dirinya.

“Saya berdoa semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua.

“Patuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya antara 24 September hingga 4 Oktober supaya membuat saringan dengan segera.

Dr Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang individu disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober.

Ketua pengarah kesihatan berkata individu berkenaan tidak mengalami sebarang gejala ketika itu dan kini dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian serta rawatan mengikut protokol sedia ada.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Pengarang :