Foto yang diambil pada 7 Oktober 2020 menunjukkan jarum suntik pada ilustrasi Covid-19 di Toulouse, barat daya Perancis. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Menteri: Anggaran RM3 bilion sedia vaksin Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan dianggar perlu memperuntuk sekurang-kurangnya RM3 bilion tahun depan untuk membolehkan rakyat mendapat akses vaksin Covid-19 secara percuma.

Menteri sains, teknologi dan inovasi berkata jumlah itu dijangka mampu menampung keperluan 70 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini, lapor Berita Harian.

“Saya mencadangkan kepada perdana menteri dan Kementerian Kewangan supaya peringkat pertama pembekalan vaksin diperuntuk secara percuma untuk semua rakyat Malaysia.

“Semalam, perbincangan awal dengan Kementerian Kewangan sudah dibuat, bagaimanapun kami belum membuat sebarang keputusan,” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara lain yang perlu dipertimbang ialah rantaian bagi perolehan vaksin, termasuk logistik dan pengagihan.

Pada 13 Oktober, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia bakal mendapat keutamaan menerima vaksin Covid-19 dari China yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Beliau berkata vaksin berkenaan dijangka diterima sebaik China selesai menjalankan ujian klinikal terakhir hujung tahun ini.


Pengarang :