Petugas kesihatan meletakkan sampel calitan di dalam tiub selepas membuat ujian saringan Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Menteri, individu sertai mesyuarat isu Covid-19 jalani saringan

SHAH ALAM, 5 OKT: Semua individu yang menghadiri mesyuarat khas Covid-19 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 3 Oktober sudah menjalani saringan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kontak rapat turut dikenal pasti dan diberikan Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah selama 14 hari serta memakai gelang pengawasan.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Mereka yang bukan kontak rapat pula diminta memantau tahap kesihatan diri di rumah selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Susulan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari selepas mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri Dr Zulkifli, kelmarin.

 


Pengarang :