Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 MAC 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MKN perinci PKPB Klang, Selangor beri cadangan ubah suai

SHAH ALAM, 8 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang termasuk beberapa cadangan pengubahsuaian daripada Kerajaan Negeri akan diperinci Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara berkenaan disampaikannya dalam sidang khas MKN bersama perdana menteri secara maya jam 11 pagi tadi.

Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan maklum balas pelbagai agensi dan jabatan melalui mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, MKN di bawah kerajaan persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKP Bersyarat Klang.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Selangor juga meneruskan saringan bersasar Covid-19 yang dijalankan mulai 4 Oktober lalu bagi membendung wabak itu.

Seramai 337 pemastautin Selangor yang ada sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani pemeriksaan percuma di Klinik Selcare. Satu kes positif dikesan setakat semalam.


Pengarang :