Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MKN wujudkan jawatankuasa strategik pengurusan pandemik tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Mesyuarat Jawatankuasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik jangka masa panjang dan sederhana bagi menghadapi cabaran pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut melibatkan 10 sektor merangkumi bidang ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

“Jawatankuasa ini telah dibentuk dan menteri berkaitan dilantik untuk mengetuai sektor tersebut bagi merangka beberapa cadangan.

“Saya percaya dalam masa terdekat, mereka akan bentangkan kepada jawatankuasa induk menangani pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Katanya sektor terlibat adalah Keselamatan Kesihatan Awam; Keselamatan dan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan; Pendidikan dan Sosial; Ekonomi dan Industri; Pembangunan dan Infrastruktur; Pembudayaan Masyarakat; Hubungan Antarabangsa; Komunikasi Strategik Sektor Sains dan Teknologi dan Hal Ehwal Perundangan.

– BERNAMA


Pengarang :