Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Muhammad ‘Aifaa Ibrahim (kiri) bersama rakan bertugas dalam rasa bahang sambil menahan lapar dan dahaga ketika Ramadan untuk merawat pesakit mempunyai simptom Covid-19.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MMA gesa sambung kontrak khidmat pegawai perubatan hingga 10 tahun

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan untuk mengkaji kemungkinan menyambung kontrak pegawai perubatan (MO) yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan, sehingga 10 tahun.

Presidennya, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata penyambungan kontrak itu akan memberi penjimatan kepada kerajaan kerana Malaysia akan mempunyai pakar terlatih yang ramai tanpa perlu mengimport pakar dalam jangka masa panjang.

“Ini tidak harus dilihat sebagai perbelanjaan tetapi pelaburan untuk generasi pakar akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam .

Beliau berkata ketika kos penjagaan kesihatan semakin meningkat, mengekalkan kedudukan jawatan tetap untuk jangka panjang tidak dapat dielakkan dan isu-isu seperti penghijrahan modal insan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi, latihan pakar yang tidak mencukupi dan harga diri dalam kalangan doktor muda juga harus dipertimbangkan.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan mendapat persetujuan untuk menyambung kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi secara one-off untuk enam bulan lagi, dengan peruntukan sebanyak RM81 juta yang akan ditampunug menerusi Kumpulan Wang Covid-19 (Tabung Covid-19).

Penyambungan kontrak itu melibatkan 79 pegawai perubatan (yang melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana telah mengikuti latihan siswazah di luar negara), 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang telah menamatkan latihan/khidmat wajib.

-BERNAMA

 


Pengarang :