Lima beradik dari kiri Dato’ Mohammad Razif, Dato’ Seri Mohd Jalani, Datuk Mohamed Misbun, Abdul Rashid, dan Abdul Rahman bergambar bersama Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek di Kanchong Darat, Banting pada 4 Oktober 2020 selepas majlis perasmian monumen itu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M. Noor Azman Taib (dua dari kanan) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria. Foto oleh ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek semarak semangat Piala Thomas

KUALA LANGAT, 4 OKT: Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek diharapkan mampu menyemarakkan semangat mengembalikan kejuaraan Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 1992.

Ketua setiausaha kementerian belia dan sukan (KBS) berkata legasi Sideks Brothers dalam arena badminton kekal terpahat dalam sejarah selepas berjaya mengharumkan nama negara menjulang trofi keramat hampir 30 tahun lalu di Stadium Negara.

“Saya menyambut baik usaha baik pulih dan mencantikkan tugu serta pembinaan monumen ini. Sepatutnya Piala Thomas berlangsung bulan ini di Aarhus, Denmark tetapi terpaksa ditunda tahun hadapan akibat Covid-19.

“Marilah kita berdoa agar wabak ini berakhir khususnya dalam sektor sukan,” kata Datuk M Noor Azman Taib ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis di perkarangan Rumah Datuk Haji Sidek di sini hari ini.

Norfaznina Mohammad Razif, 21, dan adiknya Muhammad Fazriq, 16, berswafoto bersama Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek di Kanchong Darat, Banting pada 4 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan KBS bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga dan mencantikkan semula monumen sukan seperti ini kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Monumen badminton yang dibina pada 1992 selepas kejayaan Piala Thomas kini diserikan dengan lukisan dinding yang memaparkan wajah lima anak Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar iaitu Datuk Dr Mohmed Misbun, Datuk Mohd Jalani, Datuk Mohammad Razif, Abdul Rahman dan Abdul Rashid ketika melalui zaman kegemilangan dalam karier masing-masing.

Baik pulih monumen ini hasil cetusan Kelab Cintai Sukan dan Rekreasi Selangor bermula 13 Ogos lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh minggu.

Majlis perasmian disempurnakan M Noor Azman sambil disaksikan Sidek Brothers yang turut menurunkan tandatangan pada lukisan dinding.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah 28 tahun lalu pada 16 Mei 1992 selepas mengakhiri kemarau 25 tahun menjulang piala sama pada 1967.


Pengarang :