PBTSELANGOR

MPKj sita lori, jentolak buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita lapan lori dan sebuah jentolak kerana terbabit dalam kegiatan membuang sampah secara haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur oleh Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj di mukim Kajang, Semenyih dan Hulu Langat.

“Sebanyak 16 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKj yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau berkata jumlah lori yang disita berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi ketat dijalankan pihaknya di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya MPKj sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

 


Pengarang :