PBTSELANGOR

MPS: Notis larang beri haiwan makan ditular palsu

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menafikan mengeluarkan notis larangan membawa masuk atau memberi makan kepada haiwan di kawasan medan selera seperti tular di media sosial pada Selasa.

Bahagian perhubungan awam jabatan korporatnya berkata poster tersebut adalah palsu dan tiada sebarang pengumuman berhubung perkara itu di kawasan berkaitan atau premis milik MPS.

“Siasatan akan dilakukan untuk memastikan individu terbabit dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang kerana membuat kenyataan menggunakan nama MPS.

“Kita ingin memaklumkan kepada orang ramai sentiasa menyemak laman sesawang atau sosial media MPS untuk sebarang maklumat atau pengumuman terkini,” katanya dalam kenyataan.

Notis tular itu mendakwa MPS tidak memberi kebenaran kepada mana-mana individu membawa masuk atau memberi makan kepada haiwan peliharaan atau bukan peliharaan di persekitaran premis medan selera pihak berkuasa tempatan tersebut atau berdepan denda RM300.


Pengarang :