Ahli MPS Zon 3, Anfaal Saari (kiri) bersama penduduk pada majlis pertukaran Jalan Berjaya 5 kepada Jalan 1 Taman Berjaya, Gombak pada 3 Oktober lalu. Foto Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPS
PBTSELANGOR

MPS tukar nama Jalan Berjaya 5 kepada Jalan 1 Taman Berjaya Gombak

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan pertukaran nama Jalan Berjaya 5 kepada Jalan 1 di Taman Berjaya, Gombak bermula 1 Oktober lalu.

Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat berkata pertukaran membabitkan 20 unit kediaman dilaksanakan atas inisiatif Ahli Majlis Zon 3, Anfaal Saari pada 25 Jun lalu yang mewakili penduduk kawasan tersebut.

“Permohonan ini dibuat untuk menyelesaikan masalah kekeliruan yang timbul antara Jalan Berjaya 5, Taman Berjaya dan Jalan Berjaya 5, Taman Gombak Tambahan yang terletak 200 meter dari Taman Berjaya sehingga menyebabkan kesulitan serta kesilapan terutama dari segi urusan surat menyurat dan juga penghantaran barang,” katanya dalam kenyataan semalam.

MPS menjelaskan satu majlis ringkas diadakan pada 3 Oktober lalu sebagai simbolik kepada pertukaran nama jalan yang turut dihadiri Anfaal.

Penduduk setempat yang menghadiri majlis berkenaan turut diberikan penerangan ringkas tentang pertukaran nama dan pemasangan papan tanda nama jalan baharu.

“Diharapkan dengan pertukaran ini dapat memudahkan urusan harian terutama penduduk yang terlibat dan tidak lagi menimbulkan kekeliruan,” katanya.


Pengarang :