Skuad ragbi wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun hadapan ketika ditemui di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MSN Selangor galak latihan atlet Sukma dipendekkan

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menggalakkan latihan atlet Sukan Malaysia (Sukma) dipendekkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah eksekutifnya, Mohamad Nizam Marjugi berkata jurulatih juga perlu memastikan hanya atlet terlibat sahaja hadir sesi latihan bagi mengelak ramai berkumpul di pusat latihan.

“Jurulatih dan atlet diingatkan terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) seperti mula-mula kebenaran latihan diberikan kepada mereka pada Julai lalu, kita tidak mahu mereka leka sehingga abaikan SOP.

“MSN akan memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kerjasama semua pihak terlibat amat diperlukan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam kes baharu Covid-19 naik dua kali ganda dengan 31 kes berbanding 13 pada hari sebelumnya.

Susulan peningkatan kes tersebut, Kerajaan Negeri tidak menggalakkan sebarang aktiviti persidangan mahupun perhimpunan beramai-ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat dinasihat mengikut SOP sekiranya berada di tempat melibatkan orang ramai.


Pengarang :