Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Muat turun borang kebenaran rentas Selangor di Facebook PDRM

SHAH ALAM, 15 OKT: Individu atau pihak yang perlu merentasi Selangor boleh memuat turun borang kebenaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah mudah itu diambil bagi mengelakkan kunjungan orang awam di balai polis.

“Tak perlu pergi balai polis untuk dapatkan borang. Selepas mengisi borang itu, pemohon perlu ke balai berhampiran untuk mendapatkan tandatangan ketua balai.

“Borang yang sudah disahkan boleh digunakan di setiap sekatan,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata hanya mereka yang mempunyai keperluan mendesak sahaja diberi kelonggaran untuk mendapatkan borang di balai polis.

“Dalam PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) kita kena kurangkan pergerakan sebab itulah tujuan kita. Kita mahu hentikan rantaian Covid-19,” katanya.

Salangor dikenakan PKPB bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober ini selepas peningkatan kes Covid-19.

 


Pengarang :