Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negatif Covid-19 dan tamat kuarantin, MB bertugas di pejabat esok

SHAH ALAM, 11 OKT: Dato’ Menteri Besar akan mula bertugas di pejabat esok selepas disahkan negatif menerusi ujian saringan ketiga Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain itu, beliau juga sudah tamat menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

“Alhamdulillah ujian saringan ketiga yang saya laksanakan sebaik pulang dari Sabah pada 28 September menunjukkan keputusan negatif.

“Saya akan memulakan tugas rasmi seperti biasa di pejabat bermula esok di samping mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan sentiasa memantau keadaan kesihatan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amirudin berkata keputusan ujian itu diterima pada 29 September lalu serta dibebaskan dari kuarantin oleh pejabat kesihatan daerah sambil petugas kesihatan memotong gelang pengawasan dipakai dari lapangan terbang sejak tiba di Semenanjung.

“Namun atas prinsip kebertanggungjawaban sosial, saya meneruskan kuarantin kendiri dan mempengerusikan semua mesyuarat dari rumah secara dalam talian,” katanya.


Pengarang :