Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara (gambar hiasan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka susut

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan aliran penyusutannya pada minggu depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Seorang penganalisis berkata kebimbangan yang masih wujud sekarang adalah terhadap pasaran tempatan adalah sama ada akan berlaku sekatan perjalanan sekali lagi yang menyebabkan penutupan perniagaan dan kadar pengangguran lebih tinggi.

“Apa yang berlaku hujung minggu ini, terutama mengenai langkah membendung penularan Covid-19 kerana ia membawa kepada pergerakan pasaran kerana ia dibuka semula pada Isnin.

“Peningkatan pesat dalam jumlah kes juga mengurangi keyakinan para pelabur untuk pasaran pulih semula pada suku ketiga selepas mencatatkan penurunan pada suku kedua,” katanya.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata selain masalah Covid-19, pemain pasaran juga melihat prospek harga dunia untuk minyak sayuran dan makanan berasaskan sawit oleh Globoil India.

“‘Persidangan itu yang diadakan pada 8 Oktober depan menentukan pergerakan pasaran untuk minyak sayuran, justeru ia membawa kepada momentum menurun untuk minggu depan,” katanya.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk Oktober 2020 merosot RM84 kepada RM2,846 satu tan, November 2020 turun RM106 kepada RM2,766 satu tan, Disember 2020 merosot RM114 kepada RM2,708 satu tan, dan Januari 2021, berkurangan RM118 lebih kepada RM2,674 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 318,816 lot daripada 347,001 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka menambah 245,116 kontrak daripada 253,795 kontrak, sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan mencatat RM2,880 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :