Penduduk di Taman Wawasan, Puchong yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Semenyih beratur untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Operator air negeri lain hantar lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menerima bantuan lapan lori tangki air daripada operator negeri lain untuk diagihkan ke kawasan terjejas.

Operator tersebut ialah Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Melaka Berhad.

“Bantuan bekalan air alternatif juga boleh didapati di pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) selain merujuk semua medium komunikasi untuk perkembangan terkini,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Sebanyak 92 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan termasuk penyediaan 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 13 pili awam dan sembilan PKS.

Sementara itu, Air Selangor memaklumkan tahap pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kekal sifar TON (Nombor Bau Nilai Ambang) sehingga jam 1 petang.

Kadar pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula meningkat kepada 3 TON berbanding 1 TON pada jam 11.30 pagi tadi.

“Usaha untuk menstabilkan sistem LRA Sungai Semenyih sedang giat dijalankan sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Air Selangor memberi jaminan air yang dirawat akan melalui ujian kualiti termasuk ujian bau dan mengikut piawaian dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna,” kata agensi itu lagi.

Status bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Penutupan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kelmarin menjejaskan bekalan air di 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.


Pengarang :