Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Orang ramai digesa tangguh jumpa kenalan pulang dari Sabah

SHAH ALAM, 1 OKT: Orang ramai dinasihat supaya menangguhkan pertemuan dengan individu yang pulang dari Sabah bagi mengelak penularan Covid-19, EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud turut menyarankan penduduk di negeri ini supaya mengurangkan aktiviti di tempat awam kecuali urusan kerja atau untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Harap semua rakyat Selangor berjaga-jaga terutama yang ada kenalan balik dari Sabah. Lebih baik elak daripada bertemu mesra (dan) tunggu sekurang-kurangya 14 hari dari tarikh mereka pulang.

“Selain itu, jangan bawa anak-anak dan warga emas ke tempat awam. Semua sekolah, Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) juga perlu amalkan pencegahan yang ketat,” katanya.

Menurut Bilik Gerakan Negeri Selangor, negeri ini merekodkan 10 kes baharu Covid-19 semalam dengan empat daripadanya membabitkan saringan pulang dari Sabah.

Susulan itu, lima daerah bertukar menjadi zon kuning dengan pertambahan kes aktif iaitu Hulu Langat (15), Klang (17), Petaling (12), Hulu Selangor (enam) dan Kuala Langat (satu).

Dr Siti Mariah juga mengingatkan orang ramai terus menjaga jarak fizikal, sentiasa jaga kebersihan tangan, jangan bersalaman, pakai pelitup muka, elak tempat sesak dan tempat orang ramai berkumpul.


Pengarang :