AGENSISELANGOR

Paip bocor, bekalan air 686 kawasan Lembah Klang pulih petang esok

SHAH ALAM, 17 OKT: Sebanyak 686 kawasan di Lembah Klang bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas separa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata henti tugas bagi memberi laluan kerja pembaikan kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air terawat dilakukan.

“Bekalan air ditutup jam 9 malam ini dan akan menyebabkan gangguan bekalan membabitkan 686 kawasan di Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur serta Hulu Selangor.

“Pengguna disaran menyimpan bekalan air secukupnya sebelum penutupan dan menggunakannya secara berhemah,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Air Selangor menjangkakan kerja pembaikan siap sepenuhnya jam 8 pagi esok.

Tambahnya sistem rawatan air di loji juga beroperasi seperti biasa pada jam 2 petang esok.

Perkembangan insiden akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :