Kerja pembaikan paip pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 siap sepenuhnya jam 8 pagi pada 18 Oktober 2020. Foto Facebook Air Selangor
BERITA UTAMASELANGOR

Paip pecah: 241 kawasan sudah terima bekalan air

SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak 241 kawasan sudah menerima bekalan air bermula jam 12 tengah hari tadi manakala 445 lagi masih dalam proses pemulihan selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) telah beroperasi semula.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata ia membabitkan 147 kawasan di Gombak, Kuala Lumpur (59), Hulu Selangor (17), Petaling (13) dan Klang/Shah Alam (5).

“Sementara 445 lagi kawasan dijangka akan pulih sepenuhnya esok pada jam 2 petang. Oleh itu, kami memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual.

“Setakat ini, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 88 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata, pengguna boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan.

Namun pengguna dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air di pili-pili berkenaan.

Semalam, 686 kawasan di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas separa LRA SSP1 berikutan kerja pembaikan kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air terawat.

Perkembangan pemulihan bekalan air itu dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :