Kerja pembinaan lot parkir kenderaan di Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong giat dijalankan. Foto Facebook Thomas Low
PBTSELANGOR

Parkir tambahan Klinik Kesihatan Batu 14 Puchong penuhi keperluan awam

SHAH ALAM, 11 OKT: Projek pembinaan 50 lot tempat letak kenderaan di Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong bermula 9 Oktober dijangka siap sepenuhnya pada Rabu depan.

Ahli Majlis Zon 17 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata projek bernilai RM100,000 itu bakal melegakan pengunjung yang selama ini berdepan masalah berkaitan setiap kali ke klinik berkenaan.

“Sebelum ini, ramai terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di tepi jalan raya kerana parkir sedia ada sudah penuh dan tindakan tersebut menyebabkan gangguan lalu lintas selain membahayakan keselamatan.

“Jadi, kita berusaha menjadikan satu tapak kosong bersebelahan klinik sebagai parkir tambahan bagi menampung bilangan pelawat yang semakin meningkat setiap hari,” kata Thomas Low Yew Sin ketika dihubungi.

Beliau berkata perbincangan bersama Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han sudah diadakan berhubung projek dicadang tiga bulan lalu itu sebelum peruntukan diluluskan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Ogos lalu.

“Saya berterima kasih kepada beliau kerana membantu dan menyokong bagi menjayakan pembinaannya,” katanya.


Pengarang :