AGENDAEKONOMINASIONAL

Pasaran getah teruskan kenaikan, kesan ekonomi China pulih

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Momentum kenaikan dalam pasaran getah Malaysia dijangka berterusan pada minggu hadapan berdasarkan kepada sentimen keyakinan terhadap pemulihan ekonomi China, yang akan meningkatkan permintaan ke atas komoditi itu.

Menurut seorang peniaga, minat berterusan terhadap SMR 20 akan menyokong sentimen di pasaran tempatan pada minggu tersebut, selain daripada prestasi pasaran serantau yang lebih baik termasuk kejatuhan dalam pengeluaran getah asli (NR) dunia.

Dari Jumaat ke Jumaat, SMR 20 adalah 37 sen lebih tinggi pada 619 sekilogram, manakala lateks pukal menokok 24 sen kepada 540 sekilogram.

Pada 5 petang semalam, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 berada pada 619 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 543 sen sekilogram.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran tempatan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh peningkatan prestasi di pasaran serantau susulan pemulihan ekonomi China di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah.

Pada Rabu lepas, Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), dalam laporan Aliran dan Perangkaan Getah Asli September 2020 melaporkan bahawa pengeluaran NR dunia susut 8.7 peratus dari tahun ke tahun kepada 7.78 juta tan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa yang sama, penggunaan NR dunia menurun 11.7 peratus dari tahun ke tahun kepada 8.15 juta tan, menyebabkan defisit bekalan berjumlah 373,000 tan.

Sementara itu, penanda aras SMR 20 – getah bergred khusus yang digunakan secara meluas dalam industri tayar telah mencapai tahap tertinggi baharu pada Khamis lepas sejak Jun 2019.

Pada hari yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan eksport NR Malaysia merosot enam peratus kepada 42,658 tan pada Ogos 2020 berbanding 45,386 tan yang direkodkan semasa Julai 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata China adalah destinasi utama eksport NR, merangkumi 46.8 peratus daripada jumlah eksport pada Ogos 2020, diikuti Jerman (10.1 peratus), Finland (4.3 peratus), Iran (3.0 peratus) dan Turki (2.4 peratus).

-BERNAMA


Pengarang :