Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon
AGENDANASIONAL

Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali Selangor FC

SHAH ALAM, 2 OKT: Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) selepas proses penswastaan kelab itu diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi, Selasa lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun, berkata pasukan berkenaan masih mengekalkan logo keramat mereka yang berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor pada bahagian atas.

Beliau berkata kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan kelab.

“Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada bagi Selangor FC adalah kerana logo itu cukup bermakna dan simbolik, selain telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah.

“Ia juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja. FAS juga akan mengekalkan logo sedia ada,” katanya dalam kenyataan menerusi portal rasmi FAS hari ini.

Johan berkata Selangor akan terus beroperasi dan bertanding sebagai FAS sehingga akhir musim ini memandangkan peraturan dan undang-undang liga tidak membenarkan perpindahan atau pertukaran entiti ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

“Segala urusan komunikasi, penjenamaan dan pengurusan di bawah Selangor FC hanya akan bermula secara rasmi pada 1 Disember ini selari dengan permulaan musim bola sepak yang baharu,” katanya.

Mengulas mengenai penswastaan pasukan itu pula, Johan berkata perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat antara FAS dan Selangor FC.

“FAS akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan akar umbi Selangor manakala Selangor FC pula akan berusaha membangunkan pasukan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional.

“FAS dan Selangor FC akan terus bekerjasama meskipun kedua-dua entiti mempunyai fokus tugas yang berbeza. Matlamat utama adalah untuk saling membantu bagi meningkatkan industri bola negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor FC di bawah kendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd dimiliki oleh beberapa pemegang saham antaranya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

“Walau bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukanlah muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :