Petugas Selcare Dr Noradhiah Tumirin melakukan saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Selangor kepada orang ramai di Klinik Selcare Puchong ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekerja di mukim Klang tidak wajib jalani ujian Covid-19

SHAH ALAM, 8 OKT: Pekerja sektor ekonomi yang dibenar beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang tidak perlu melakukan ujian Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan bersasar terhadap individu yang mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19.

“KKM akan melakukan saringan berdasarkan keperluan terutama di kawasan tertentu yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasakan di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.


Pengarang :