Pelajar Universiti Islam Antarabangsa dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor menerima Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan baru-baru ini. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pelajar 41 IPT dapat Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebanyak 41 insititusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri menerima Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan oleh Kerajaan Selangor.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata bantuan berupa pek makanan dan barangan kesihatan seperti pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Sebanyak 11 IPT menerima bantuan makanan dan barangan kesihatan sementara 30 lagi menerima barangan kesihatan sahaja yang diedar bermula 5 hingga 9 Oktober,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bantuan meliputi tiga kategori iaitu pelajar Selangor yang belajar di sini, pelajar dari negeri lain yang belajar di Selangor dan pelajar Selangor yang belajar di negeri lain.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban mahasiswa yang terkesan ketika ini,” katanya, memaklumkan sumbangan turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Oktober mengumum akan menyalurkan bantuan kepada penuntut IPT yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran secara bersemuka.

Pada 27 September, Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan semua IPT menangguhkan pendaftaran ke kampus yang dijadual bermula bulan ini susulan peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :