PBTSELANGOR

Pemuda tolak tawaran niaga di tapak penjaja, sambung belajar – MBSA

SHAH ALAM, 13 OKT: Peniaga minuman yang dikompaun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menolak tawaran berniaga di tapak penjaja berikutan perlu kembali meneruskan pengajian.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu ditawarkan tapak di kawasan penjaja sementara Seksyen 7, di sini.

“MBSA melalui Jabatan Pelesenan mengambil inisiatif menghubungi pemuda berkenaan untuk berbincang dan membantu beliau meneruskan perniagaan.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar terhadap isu yang ditularkan di media sosial,” menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

MBSA menjelaskan pihaknya mengambil maklum situasi dihadapi orang ramai pada saat ini untuk menjalankan perniagaan kecil bagi menampung kehidupan seharian.

“Bagi mengatasi masalah penjaja tanpa kebenaran, MBSA mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk menempatkan penjaja tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada 9 Oktober lalu, pemilik Twitter @iszlqrn memuat naik video kawannya bernama Azri didatangi penguat kuasa MBSA dan disaman ketika berniaga air minuman secara jualan dari but kereta.

Beliau mendakwa Azri yang baharu setengah jam berniaga dan mendapat untung RM75 selepas menjual lima botol minuman dikenakan kompaun berjumlah RM300.

Video itu mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang segera menghubungi pemilik akaun terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu memudahcara urusan berniaga di sekitar Shah Alam.


Pengarang :