Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberikan maklum balas dalam sidang media berhubung isu pencemaran bau Sungai Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 21 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pencemar air Selangor berdepan hukuman penjara tiga tahun, denda RM1 juta

SHAH ALAM, 21 OKT: Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bakal dipinda dengan memperuntukkan denda maksimum RM1 juta dan penjara tiga tahun terhadap pencemar air.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini Enakmen Luas 1999 hanya memperuntukkan denda maksimum RM500,000 serta tidak menggerunkan pihak berkaitan di negeri ini.

“Cadangan tambah baik atau pindaan enakmen bakal dibentang dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung pada awal November dan kita telah minta pandangan peguam negara berhubung perkara ini.

“Kerajaan Negeri berharap enakmen ini dapat diluluskan segera demi kebaikan serta kesejahteraan rakyat Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Berhubung cadangan pemberian diskaun bil air kepada pengguna terjejas, Dato’ Seri Amirudin Shari perkara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah.

“Ya, kita memang ada bincangkan pemberian diskaun ini, tetapi kita fikir adalah lebih wajar jika perbelanjaan itu digunakan untuk menghalang kegiatan sama berulang.

“Jika beri diskaun, ia seolah-olah kita menyerah kepada takdir bahawa pencemaran ini akan berlaku dan setiap kali pencemaran berlaku kita kena beri pula diskaun,” katanya.


Pengarang :