ADN Kota Anggerik Najwan Halimi membantu penduduk mengangkat air ketika beliau meninjau Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor di Seksyen 4, Shah Alam pada 4 September 2020. Foto Ihsan Twitter Najwan Halimi
AGENDANASIONAL

Pencemaran air: Wakil rakyat gesa siasatan unsur sabotaj, khianat

SHAH ALAM, 19 OKT: Unsur sabotaj dan khianat perlu disiasat berhubung pencemaran sumber air yang kerap berlaku di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu perlu memandangkan masalah berkenaan kerap berlaku sehingga menyusahkan orang ramai.

“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil Kerajaan Negeri,” katanya di Twitter hari ini.

Dalam ciapan hantaran yang sama, beliau berkata insiden itu berlaku ketika rakyat melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bekalan air baru pulih selepas insiden paip pecah, tiba-tiba pagi ini sumber air dicemar sekali lagi.”

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :