Petugas Air Selangor menimba air untuk memeriksa kualitinya di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pencemaran bau: Pengguna terima bekalan air 8 pagi esok

SHAH ALAM, 19 OKT: Bekalan air akan mula disalurkan kepada 1.2 juta akaun pengguna terjejas bermula jam 8 pagi esok selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang memulakan operasi rawatan air pada jam 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata empat loji berkenaan akan memaksimakan pengeluaran dan memenuhi paip-paip utama dan kolam terminal.

“Air Selangor menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

“Pelan pemulihan melibatkan Kumpulan 1 sebanyak 594 kawasan akan pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi 21 Oktober, Kumpulan 2 melibatkan 266 kawasan pulih pada jam 8 pagi 22 Oktober dan Kumpulan 3 sebanyak 432 kawasan pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi 23 Oktober,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata, pihaknya turut menggerakkan 91 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis yang terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui 21 pili awam, menempatkan 34 tangki statik di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan semasa tempoh pemulihan bekalan air ini,” katanya.

Perkembangan pemulihan bekalan air itu dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

 


Pengarang :