Petugas Air Selangor memeriksa keadaan air di ruang perangkap pasir (sand hopper) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pencemaran LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor pulih

SHAH ALAM, 19 OKT: Tahap bacaan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah mencapai 0 TON (nilai bau ambang) petang ini.

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar berkata loji terbabit akan kembali memproses air mentah untuk disalurkan kepada pengguna.

“Alhamdulillah. Saya dimaklumkan tahap bacaan pencemaran di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 telah mencecah 0 TON.

“Oleh itu, loji telah mula beroperasi untuk kerja-kerja pembersihan dan akan mula memproses air mentah bagi kegunaan para pengguna,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut.


Pengarang :