Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Pencemaran muka sauk LRA Rantau Panjang catat sifar TON

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang berada pada tahap sifar TON (kiraan kadar pencemaran) setakat 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2 dan Sungai Selangor Fasa 3 pula mencatatkan tahap 1 TON.

“LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran pada tahap 0 TON tiga kali ujian berturut-turut. Ini bagi memastikan tiada sisa pencemaran di hulu sungai,” kata agensi melalui Facebook.

Air Selangor menggalakkan pengguna terjejas mengambil bekalan air bersih di pili awam atau Pusat Khidmat Setempat manakala bantuan lori tangki diutamakan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis atau upacara kematian.

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan empat LRA dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.


Pengarang :